Sunday, July 13, 2008

Another story....

“Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan”. - Al Qalam (10-11)

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada semua pelajar UNITEN supaya bertenang berkenaan kes salah seorang bekas pelajar yang telah menggemparkan negara. Kes ini masih di dalam peringkat penyiasatan. Biarkan pihak polis dan kerajaan melakukan siasatan secara menyeluruh terlebih dahulu. Dan wajarlah untuk kita sama-sama mengambil posisi sebagai pemerhati.

Saya percaya ramai di antara kita yang kenal siapa Saiful Bukhari. Tidak dapat tidak, kita harus menerima hakikat bahawa dia pernah menjadi sebahagian daripada keluarga kita. Belajar dari kesilapan. Itu sahaja yang mampu saya katakan sekarang. Tidak dinafikan kisah Saiful Bukhari ini telah membuka mata saya mengenai duri dan ranjau di dalam arena politik. Silap percaturan, padah yang menimpa.

Walaupun begitu, saya meyakini dengan sepenuh hati bahawa kita (anak-anak UNITEN yang sebenar) tidak mungkin akan mengulangi episod hitam ini di masa hadapan. Kita tidak kering falsafah, kita tidak rapuh pegangan. Kita mampu merealisasikan impian diri sendiri. Kisah Saiful Bukhari tidak akan betah untuk menggugat peribadi dan prinsip diri kita di bumi UNITEN.

Seorang teman meluahkan kebimbangan mengenai masa depan pemimpin-pemimpin di UNITEN. Saya akui, kes ini sedikit sebanyak mencalar imej dan kredibiliti pemimpin dari UNITEN, namun bukankah itu yang patut kita galas sebagai cabaran? Jangan mudah menyerah kalah. Kita akan berani apabila kita benar, kita akan menyerah apabila kita salah. Mengapa perlu ditahan rasa tanggungjawab yang harus kita pikul hanya semata-mata kerana salah seorang daripada kita telah membuat noda? Saya tidak mahu mengulas panjang mengenainya memandangkan saya juga bukanlah siapa-siapa di dalam sejarah kepimpinan UNITEN. Namun demikian, atas rasa tanggungjawab seorang kakak terhadap adik-adiknya, saya memohon agar jangan mudah menyerah. Sifat kepimpinan itu sebenarnya ada di dalam setiap diri kita. Terpulang kepada kita untuk merencanakannya. Haluan kiri atau kanan bukan persoalan utama, tetapi adakah haluan itu akan membawa kita ke jalan yang benar? Fikirkan.

Warga-warga UNITEN lain (pegawai-pegawai HEP, staff, pensyarah) pastinya akan sedih apabila melihat kewujudan pelajar-pelajar yang kaku dan tidak berdaya saing antara satu sama lain. Kedegilan kita ini hanya akan memakan diri sendiri. Andai kita tidak bangkit menyahut cabaran ini, ertinya kita semua merestui “perjuangan” Saiful di dalam memartabatkan nama UNITEN di mata dunia. Sebagai seorang anak yang lahir dari rahim UNITEN, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk mengangkat kembali maruah ibunda tercinta.


dipetik dari: http://ainisazreen.wordpress.com/

No comments:

Related Posts with Thumbnails